Saturday, 1 April 2017

Muhasabah hati

'Kita akan diuji dan terus diuji III ' 
 
'‘Subhanallah…Maha Suci-Mu Ya Allah…’ 
 
 

Hati kembali beristighfar.Saya mencuba. Sentiasa ingin mencuba.Bertenanglah duhai hati. Bertenanglah duhai jiwa.Itulah yang sering saya bisikkan pada diri.Di saat hati terasa amat goyah, saya pohon DIA tidak menggoyahkan pegangan ini padaNya.Walau apapun yang akan terjadi, saya tetap ingin sentiasa berpegang teguh pada ikatan ini. Ikatan aqidah yang terpatri, bukan semudah-mudah untuk dilemahkan dengan bisikan-bisikan emosi.Biarpun pada awalnya diri tidak mampu menahan rasa-rasa yang ada, biarpun cuba menahan air mata ternyata ia gugur juga.Pertama, memang saya menangis kerana sedih. Sedih dengan dugaan yang datang itu, tidak mampu saya hadapi dengan hati yang bertenang.
 
Kemudian saya menangis lagi. Kali kedua, bukan menangis kerana sedih lagi. Tetapi menangis kerana terharu.Kerana tatkala diri bermuhasabah kembali, air mata keharuan yang mengalir kerana tersedar DIA sedang menujukkan rasa cintaNya pada diri.
Cuma diri yang ingin memilih mahu bersabar atau tidak?
Adakah ingin menerima huluran cinta itu dengan hati yang memberontak?

Sedangkan DIA sedang menghulur cinta.ya.Cinta agungNya.Cuba tanya kembali, bahagia itu di mana sebenarnya? Bahagia yang hakiki itu ada di dalam jiwa.Dekat dengan diri, sentuhlah dadamu sendiri, maka engkau akan merasakan betapa ia cukup dekat. Bahagia itu akan hadir bila kita bersyukur dan belajar menerima apa adanya.Cuba menerima segala aturanNya. Maka kita sebenarnya sedang menyentuh cahaya bahagia..
 
Biarlah air mata yang jatuh itu moga dapat menghapuskan rasa gelisah di jiwa. Semoga air mata yang mengalir itulah tanda kekerdilan kita sebagai hambaNya.Yang selayaknya untuk diuji dan diuji dengan pelbagai dimensi. Namun, ketahuilah sesungguhnya Allah itu Amat Adil.

Tidak akan diberikan ujian itu melainkan DIA Maha Tahu kita mampu memikulnya. Tidak akan ditimpakan ujian itu, melainkan DIA Maha Tahu kita perlukan ujian itu untuk kita terus menjadi hambaNya yang kuat. Kuat dari sudut iman dan ihsan.

Kerana setiap ujian yang hadir, adalah suatu rahmat. Tiada ujian yang buruk, melainkan semuanya adalah ketentuan yang terbaik dari Yang Esa.

Biarpun yang diuji itu ternampak buruk, dan tersangat buruk pada pandangan mata zahir manusia, tetapi andai dilihat dari tembusan mata hati ternyata ianya adalah hikmah dari yang Maha Kuasa.

Hikmah itu tidak akan nampak andai tidak diselak. Hikmah itu tidak akan terzahir andai hati tidak dididik untuk menerima segala ketentuan dan bersyukur dengan pemberiannya.

Benar. Tidak semudah kata bicara. Tidak semudah lafaz yang dikata.Rasa berat dan perit itu hanya akan dapat dirasa oleh orang yang merasa. Tetapi cubalah ‘menelan’ rasa itu dengan senyuman. 

Meskipun kelat, meskipun pahit, tetapi pasti ada manis yang akan terganti dari rasa pahit itu. Rasa manis dan nikmat itu akan datang di sebalik semua kepahitan. 

Pelangi pasti akan muncul setelah ribut taufan yang melanda. Begitu jua kehidupan ini pasti akan ada bahagia di sebalik semua duka…Yakinlah.!


 “Kita akan diuji dan terus diuji, teruslah bersabar duhai pengejar cinta Ilahi.Makin Allah uji, makin Allah mencintai.Kata cinta kepadaNya, maka buktikanlah cinta itu dengan akur pada setiap takdiranNya”

No comments:

Post a Comment

TAJUK 4 PENGURUSAN MURID

RUMUSAN PENGURUSAN MURID Umumnya, pengurusan bermaksud   proses sosial yang dibentuk untuk memberikan kerjasama, penglibatan, campur...